Global

Mesyuarat Khas WEF: Malaysia suarakan pendirian isu Gaza, konflik Asia Barat

Malaysia akan menggunakan pentas Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai keganasan rejim Israel di Gaza.

“Malaysia tidak pernah berganjak berkenaan isu penderitaan serta perjuangan rakyat Palestin dan kita mahu melihat mereka diberi hak yang sama serta mendirikan sebuah negara merdeka dan diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita berharap negara-negara yang dahulunya mempunyai pandangan berbeza dengan Malaysia akan mengambil pendirian sama berhubung isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita di Kedutaan Malaysia di Riyadh.

Mesyuarat Khas WEF, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Raja Abdul Aziz, bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ dan dijangka dihadiri ketua-ketua negara serta kerajaan selain pemimpin industri.

BACA LAGI: PM Anwar adakan lawatan kerja ke Riyadh sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia

Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berada di sana bagi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir atas jemputan peribadi Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman

Sementara itu tambah Mohamad Hasan, selain isu keganasan rejim Israel, beliau turut akan menyentuh mengenai ketegangan di Asia Barat agar ia tidak menjadi krisis serantau apabila bertemu dengan rakan-rakan sejawat yang turut menghadiri WEF.

“Saya berharap mereka yang mempunyai kepentingan akan bersama-sama melihat ini sebagai sesuatu yang kita mesti kendurkan dan damaikan agar tidak menjadi krisis di Asia Barat,” katanya.

Related Articles

Back to top button