Nasional

Penstrukturan gaji penjawat awam mampu suntik semangat kerja anggota bomba – Aiman Athirah

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam dijangka akan memberi manfaat kepada seluruh kakitangan kerajaan termasuk kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penstrukturan semula tersebut dipercayai mampu untuk menyuntik semangat kerja yang lebih positif dan menaikkan motivasi penjawat awam secara keseluruhannya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau yakin dan percaya bahawa Kerajaan Perpaduan begitu komited untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tersebut kepada semua pihak yang terlibat termasuk anggota bomba.

“Kita mengharapkan supaya lebih diberikan perhatian daripada sudut kebajikan mereka (anggota bomba) juga sebab kerja-kerja yang dilakukan lebih bersifat penyelamatan.

“Daripada sudut peningkatan itu saya juga berharap bomba dapat diberikan penumpuan yang lebih baik lagi,” katanya memetik laporan Malaysia Bangkit pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 JBPM Putrajaya, pada Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan struktur gaji baharu penjawat awam pada perhimpunan Hari Pekerja yang disambut 1 Mei depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang dipengerusikannya hampir memuktamadkan tambah baik struktur gaji itu dan perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Related Articles

Back to top button