Pilihanraya

PRK Kuala Kubu Bharu: Calon PN sepatutnya berterus terang – Saifuddin Shafi

Tindakan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu enggan memberi penjelasan segera mengenai kelulusan akademiknya yang dipersoal dianggap sebagai satu ‘disaster’ pada permulaan kempen pilihan raya.

Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi berkata, mana-mana calon sewajarnya bersikap terus terang supaya tidak menimbulkan kecurigaan terutama dikalangan pengundi.

Tindakan Khairul Azhari Saut enggan melayan pertanyaan mengenai perkara itu jelasnya telah menyebabkan ‘kecurigaan’ ramai semakin menjadi-jadi kerana ia seolah-olah membenarkan kontroversi itu.

“Ini satu ‘disaster’ kepada permulaan kempen untuk memancing undi pengundi PRK KKB.

“Patutnya mana-mana calon dan parti perlu jujur, berterus terang tentang apa jua kelayakan, keupayaan diri apatah lagi calon juga adalah kalangan penduduk setempat.

“Ingat ya, anda adalah calon yang mewakili rakyat dan berbahas mengenai dasar kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya menurut MalaysiaGazette.

Dalam poster kempen yang diedar, Khairul Azahari dilihat menyenaraikan Diploma Eksekutif Pengurusan yang diperoleh dari Universiti Malaya pada 2019.

Beliau juga dicatatkan sebagai pemegang Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang yang diperoleh pada 202.

Susulan itu Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar menerusi hantaran di laman Facebook mempertikaikan taraf pendidikan pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu yang dikatakan ‘terlampau hebat’ kerana memiliki diploma dan ijazah dalam tempoh dua tahun.

Perkara itu turut menjadi perdebatan di laman sosial apabila rata-rata warga maya mempersoalkan proses pengajiannya yang didakwa tidak melalui peringkat biasa.

BACA LAGI: Kerajaan tumpu isu ekonomi, masa depan penduduk

Ketika ditanyakan pemberita mengenai isu tersebut, Khairul Azahari enggan menjawab dan sebaliknya berkata mahu fokus kepada kempen yang diadakan.

Sementara itu Saifuddin menggesa Khairul Azahari mengambil tanggungjawab terhadap isu ini dengan membuktikan kelayakan beliau atau berterus terang dan memohon maaf kepada pengundi KKB sekiranya berlaku kekhilafan dalam perkara tersebut.

Related Articles

Back to top button