ekonomi

Kerjasama Malaysia-Arab Saudi diperkukuh melalui pertumbuhan perdagangan dan pelaburan – Tengku Zafrul

Kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi dengan saling memanfaatkan kekuatan antara satu sama lain dalam industri tertentu akan dapat menyokong pertumbuhan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian menerusi ciapan di laman X hari ini sempena mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.

Tengku Zafrul Abdul berkata, semasa pertemuan beliau bersama Menteri Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi, Bandar bin Ibrahim Alkhoreyaf kedua-dua mereka membincangkan tentang peluang kerjasama dalam pelbagai sektor industri terutamanya sektor pertumbuhan tinggi.

Bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’, WEF yang berlangsung dari 28-29 April itu disertai lebih 1,000 pemimpin dunia daripada 92 negara, termasuk ketua negara dan kerajaan, ahli pemikir dari sektor awam dan swasta, selain organisasi antarabangsa, institusi akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, beliau berkata, ASEAN dan Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) sedang giat memupuk kerjasama ekonomi melalui Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC 2024-2028.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh antara ASEAN dan GCC melalui perkongsian yang saling menguntungkan merentasi pelbagai sektor.

“Dengan memanfaatkan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC dan meneruskan kerjasama perdagangan yang progresif, Malaysia berhasrat untuk membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan membawa hubungan ASEAN-GCC ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Related Articles

Back to top button