Malaysia perlu belajar dari pengalaman dan kelemahan lampau – PM Anwar
Malaysia perlu belajar daripada pengalaman dan kelemahan lampau berkait rasuah serta jurang antara golongan miskin dan kaya yang masih melebar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan pada sesi Pembukaan Pleno: Visi Baharu untuk Pembangunan Global bersempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi semalam berkata, kelemahan itu menjadi faktor mendorong pentadbirannya untuk memberi tumpuan penuh terhadap usaha memperbaiki tatakelola dan tanggungjawab fiskal negara.
Usaha itu bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati kemakmuran berpanjangan dan kualiti hidup yang lebih baik.
“Dalam ucapan, saya nyatakan betapa Malaysia sebuah negara bertuah dengan ekonomi kembali bertumbuh pesat serta menikmati keamanan dan kestabilan politik, ketimbang negara-negara lain yang masih berdepan kegawatan politik dan ekonomi kritikal.
“Di hadapan pemimpin dunia dan perniagaan, saya turut berkongsi strategi dasar luar Malaysia yang berjaya membina hubungan baik serta mengimbangi pengaruh kuasa besar ekonomi dunia antara Amerika Syarikat dan China menerusi pendekatan bijaksana,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebooknya.
BACA LAGI: PM Anwar rayu sokongan padu rakyat jayakan usaha lawan rasuah
Anwar dalam rangka lawatan tiga hari ke Riyadh bagi menghadiri WEF ertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’.
Pada ucapannya, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi yang mengadakan mesyuarat penting itu di tengah-tengah ketegangan geopolitik serantau.
“Arab Saudi juga semakin mendapat perhatian dunia, khususnya daripada negara-negara Islam,” katanya.