Nasional

Menteri Agama buat lawatan mengejut ke Tabung Haji, tinjau operasi dan dokumentasi bakal jemaah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Ahad melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat Tabung Haji (TH), bagi melihat kerja-kerja operasi dan dokumentasi bakal jemaah haji yang akan berlepas tidak lama lagi.

Menerusi hantaran dalam Facebook, beliau bersama pengurusan tertinggi meninjau gerak kerja di Unit Passport dan Visa TH yang memproses dokumentasi visa, passport, pembahagian tempat penginapan serta penerbangan bakal jemaah haji.

“Saya memberikan ingatan kepada semua warga TH untuk bertugas sepenuh hati kerana ini adalah bakti kita kepada agama, negara dan ummah.

“Semoga segala urusan para jemaah haji Malaysia dipermudahkan, Allah jua akan mempermudahkan segala urusan hidup kita dengan asbab tugasan kita yang penuh ikhlas dan itqan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menghargai pengorbanan dan semangat pegawai dan kakitangan TH yang mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam.

Terdahulu, dilaporkan Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini.

Mohd Na’im berkata, kejayaan itu susulan persiapan awal dilaksanakan TH dalam pelbagai aspek.

“Dengan adanya keupayaan daripada sudut komitmen warga kerja dan sistem sedia ada, apabila permohonan visa dibuka kita yang pertama sekali uruskan dengan cepat, itu asasnya dan sudah tentu melalui perjanjian yang kita uruskan daripada awal maka ia menjadi lebih mudah.

“Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas kecepatan agensi kita ini sehingga berjaya mendapatkan visa awal daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Related Articles

Back to top button