Pelaburan semikonduktor: Pulau Pinang akan kerjasama dengan Persekutuan
Kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, termasuk segmen reka bentuk litar bersepadu (IC).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow ditemui pemberita selepas menghadiri satu program di George Town pada Ahad berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan pelbagai pelaburan untuk melengkapkan ekosistem dan rangkaian bekalan dalam bidang semikonduktor.
“Kerajaan Persekutuan kini sedang usahakan Pelan Strategik Semikonduktor dan saya dengar ada rancangan untuk mengkhususkan negeri-negeri kepada sektor-sektor kecil yang berkenaan, kita tidak perlu bersaing dengan negeri-negeri tetapi lihat sektor ini dalam konteks negara.
“Jadi, kita perlu lihat apa cadangan Pelan Strategik Semikonduktor yang dijangka diumumkan Mei nanti, kita akan lihat apakah peranan yang ditugaskan kepada Pulau Pinang dan saya percaya negeri ini ada ekosistem yang paling lengkap di Malaysia ini,“ katanya dipetik.
Terdahulu, tiga syarikat semikonduktor baharu iaitu China Wafer Level CSP Co (WLCSP), Ningbo SJ Electronics Co (SJE) dan Wuxi AMTE Inc (AMTE) menyatakan minat mereka untuk melabur di Pulau Pinang dengan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak US$100 juta.
BACA LAGI:Pelan strategi dirangka, kerajaan pastikan Malaysia jadi destinasi industri semikonduktor
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memaklumkan satu Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bakal dibangumkan untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik semikonduktor.
Sehubungan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diberi kepercayaan bagi merangka Pelan tersebut.