Pilihanraya

PRK Kuala Kubu Bharu: Calon kerajaan fokus kempen, tak mahu layan provokasi

Calon mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao mengakui berdepan provokasi ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap fokus dengan kempen dan tidak mahu menghiraukan provokasi itu.

“Saya rasa sebagai anak muda kita nak bawa politik baharu kepada rakyat KKB dan juga kepada rakyat Malaysia secara am.

“Maknanya nak membawa dasar-dasar pembaharuan kepada penduduk-penduduk setempat.

“Politik tidak seharusnya mengenai provokasi ataupun fitnah atau permusuhan, saya rasa sebagai wanita saya nak bawa politik yang baharu kepada Malaysia fokus kepada dasar pembangunan rakyat khususnya pembangunan setempat,” katanya pada sesi walkabout bertemu pengundi di Pasar Karat, di Batang Kali pada Ahad.

Pada sesi itu Sock Tao diiringi Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Sementara itu beliau yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memaklumkan akan melancarkan manifestonya pada minggu depan.

Ketika ini jelasnya, manifesto berkenaan masih di peringkat perancangan serta penelitian.

BACA LAGI: Sock Tao tekad teruskan legasi bekas ADUN, guna pengalaman untuk manfaat KKB

“Apabila sudah dilancarkan nanti, seluruh jentera akan bekerja keras bagi memastikan masyarakat di sini tahu dan mempunyai maklumat mengenai apa tawaran yang kita akan berikan kepada mereka.

“Semestinya ini juga satu cabaran kerana penyandang (mendiang Lee Kee Hiong) menjalankan tugas dengan baik dan amat aktif dengan kegiatan masyarakat di sini. Jadi selain tawaran manifesto, saya akan berusaha untuk kekalkan momentum itu termasuk hubungan baik dengan semua ketua kampung dan ahli majlis demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button