Nasional

Fungsi JAKIM, Kementerian Perpaduan adalah berbeza – Menteri Agama

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi peruntukan kepada Kementerian Perpaduan Negara yang bermatlamat untuk membangunkan Malaysia MADANI dengan menjulang tinggi nilai agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan tersebut turut mementingkan kesederhanaan serta saling bertoleransi dan akhirnya memberikan manfaat kepada negara.

“Kementerian Perpaduan Negara misinya adalah untuk meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

“Manakala, misi JAKIM pula adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah,” kata Na’im dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail bahawa JAKIM berhak mendapat peruntukan yang sama atau lebih besar atas peranannya merapatkan jurang dan memupuk hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada yang diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara.

Mohd Na’im berkata, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tahun ini.

Peruntukan tersebut adalah melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Kementerian Perpaduan Negara.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, JAKIM telah diperuntukkan sejumlah RM730 juta kepada guru KAFA, guru takmir, dan Imam yang dilantik di seluruh Malaysia.

Untuk pengoperasian semasa, sejumlah RM249 juta diperuntukkan kepada JAKIM di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.

​Manakala, RM150 juta disediakan kepada JAKIM untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam, antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

Pada masa yang sama, Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM.

Sementara itu sebanyak RM374 juta diperuntukkan bagi memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.

“Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan. Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button