Semasa

Kasino Forest City: Mesyuarat Kabinet dijangka bincang tindakan susulan terhadap Bloomberg

Mesyuarat Kabinet dijadualkan hari ini dijangka akan membincangkan tindakan susulan terhadap laporan tidak tepat disiarkan sebuah agensi berita asing berkait dakwaan rancangan mengeluarkan lesen bagi pengoperasian kasino di Forest City, Johor.

Jurucakap mewakili Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, segala tindakan yang bakal diambil terhadp Bloomberg- agensi penyiaran berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu berkemungkinan dilaksana selepas mesyuarat berkenaan.

“Kita ada mesyuarat Jemaah Menteri esok. Jadi, (segala tindakan) mungkin selepas daripada itu.

“Tapi, saya difahamkan ada beberapa laporan polis telah dibuat dan saya belum lihat laporan polis itu.

“Jadi, mungkin saya kena tunggu mesyuarat Jemaah Menteri dahulu,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata begitu selepas melakukan lawatan di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, di Hulu Selangor pada Isnin.

Terdahulu, Perdana Menteri menafikan bahawa kerajaan mengeluarkan sebarang lesen untuk menubuhkan kasino di Forest City, Johor Bahru.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, laporan yang mendedahkan bahawa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) adalah tidak benar.

BACA LAGI: Dakwaan bina kasino di Forest City sabotaj berniat jahat

Susulan itu, Berjaya Corporation Berhad (Berjaya) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Tay yang dikaitkan dengan laporan itu turut membuat penafian.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menegaskan kerajaan Johor tidak akan membenarkan mana-mana kasino beroperasi di negeri itu termasuk di Forest City.

Beliau menyifatkan laporan oleh agensi berita itu berunsur sabotaj dan berniat jahat.

Related Articles

Back to top button