KPN sahkan Papagomo ditahan terkait hinaan terhadap Agong
Aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo ditahan polis selepas mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata Papagomo ditahan di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.
Tambah Razarudin, tangkapan itu dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang peniaga berumur 41 tahun yang mengesan hantaran itu semasa melayari media sosial di rumahnya pada Isnin.
Kenyataan dibuat Papagomo dikesan menerusi satu hantaran video berdurasi 2 minit 46 saat yang memaparkan dia mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemilik Kedai Serbaneka KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan.
Menerusi video itu juga turut menyatakan YDPA yang mengarahkan Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, 45, dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan.
Menurut Razarudin lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKM 1998 dan dia ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.