Anwar

Malaysia sedia pengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN, ASEAN GCC pada 2025

Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025, termasuk menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China.

Perkara itu disuarakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah, sebelum pulang ke tanah air.

Kunjungan itu menutup lawatan beliau ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Pada pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan yang dipamerkan Kerajaan Arab Saudi berkaitan hal ehwal umat Islam termasuk konflik Palestin – Israel.

“Saya lontarkan pandangan betapa seluruh negara Arab dan negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada dan tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun.

“Di samping terus memperjuangkan hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada pertemuan itu juga, Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi bagi meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah bermurah hati memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Malaysia tahun ini.

Pada akhir pertemuan itu, Anwar sekali lagi mengulangi jemputan kepada Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, insya-Allah,” katanya.

Related Articles

Back to top button