Global

Mohammed bin Salman komited kukuh hubungan Arab Saudi-Malaysia

Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman telah menyatakan kesungguhan untuk mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia termasuk melalui pelaburan skala besar ke negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesungguhan itu dinyatakan semasa dialog khas Putera Mohammed bersama beberapa pemimpin negara lain termasuk Perdana Menteri Mesir, Jordan dan Pakistan di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

“Saya lihat beliau bersungguh-sungguh mahu supaya Malaysia diberi tumpuan dan dalam perbincangan dengan Menteri-Menteri dan syarikat (Arab Saudi) juga, nampak kesungguhan yang sama.

“Saya jumpa Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan (Arab Saudi) semalam pun sebut bahawa arahan itu jelas dan kita harap ini dapat dilaksanakan segera, terpulang kepada kesediaan dan tahap kecepatan kelulusan oleh agensi-agensi Malaysia,” jelasnya.

Anwar berkata begitu dalam satu sidang media pada akhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Arab Saudi.

BACA LAGI: Kerjasama Malaysia-Arab Saudi diperkukuh melalui pertumbuhan perdagangan dan pelaburan 

Sementara itu Anwar berkata beliau telah meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyelaras pelaburan Arab Saudi ke Malaysia.

Pada sidang media sama Anwar memaklumkan Mohammed bin Salman telah menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Related Articles

Back to top button