Pelarasan kadar tarif air domestik tingkat sistem bekalan air negara
Pelaksanaan pelarasan kadar tarif air bagi kategori domestik sejak 1 Februari lalu penting bagi menambah baik dan meningkatkan sistem bekalan air negara.
Penasihat ASIAWATER 2024 dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua berkata, hasil yang diperoleh daripada tarif baharu air itu, bermanfaat untuk membaiki dan menggantikan paip lama sedia ada yang tidak lagi efisien dalam sistem bekalan air sekali gus mengurangkan jumlah pelepasan air tidak terhasil (NRW).
“Untuk menangani perkara itu ia memerlukan banyak wang, dengan NRW bagi Semenanjung kira-kira 34 peratus malah di sesetengah negeri ia mencecah hingga 50 peratus.
“Jika kita tidak mengambil kesempatan untuk menukar paip ini, kebocoran akan menjadi lebih buruk apabila paip bertambah usang dan tidak dapat dibaiki lagi, kita tidak mampu menampung air dan akan berlaku lebih banyak gangguan,” katanya semasa temu bual dalam program terbitan Bernama TV pada Isnin.
Beliau berkata, 30 peratus paip yang digunakan dalam sistem bekalan air negara adalah paip simen asbestos yang mahal dan mengambil masa lebih lama untuk dibaiki.
Teo turut menjelaskan bahawa hasil yang diperoleh memainkan peranan penting dalam memodenkan ekosistem bekalan air.
“Loji rawatan air menggunakan banyak tenaga iaitu jika ia dilihat pada perbelanjaan operasi seperti bil elektrik, gaji petugas dan bahan kimia.
“Di kebanyakan negara membangun, mereka sentiasa menganggap air sebagai sesuatu yang sepatutnya percuma, hakikatnya tidak ada istilah air percuma kerana kita perlu membersihkan, merawat dan mengepam air, semua ini memerlukan wang,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuatkuasa 1 Februari 2024.
Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.