Pilihanraya

PRK Kuala Kubu Bharu: PM mahu jentera berkempen secara sihat, bersungguh-sungguh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesan agar jentera Kerajaan Perpaduan berkempen bersungguh-sungguh di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk memenangkan calon diketengahkan.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Perdana Menteri turut berpesan supaya jentera parti berkempen secara sihat serta tidak menggunakan fitnah, sentimen perkauman dan memburukkan personaliti dalam misi mempertahan kerusi berkenaan.

“Perdana Menteri mahu jentera parti menyampaikan fakta yang sebenar mengenai pencapaian dan kejayaan Kerajaan Perpaduan.” kata Shamsul pada sidang media Jabatan Pilihan Raya KEADILAN Selangor di Hulu Selangor pada Isnin

Sementara itu tegas Shamsul, calon yang diketengah oleh Pakatan Harapan (PH) bagi mewakili Kerajaan Perpaduan mempunyai potensi kepimpinan hebat.

Kelebihan itu jelasnya tidak wajar disia-siakan pengundi di kawasan itu.

BACA LAGI: Calon kerajaan komited bela kebajikan belia dan wanita

“Walaupun PRK kali ini tidak mempunyai sebarang kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri namun warga KKB tidak boleh memandang remeh dan mensia-siakan peluang yang telah diberikan untuk memilih pemimpin yang tepat,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao sebagai calon PH, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Related Articles

Back to top button