Pilihanraya

Serangan peribadi tidak ganggu perjalanan kempen PRK Kuala Kubu Baharu – Pang Sock Tao

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao berharap tiada serangan peribadi yang akan dijadikan ‘peluru’ untuk menyerangnya sepanjang kempen.

Beliau berkata, sebagai anak muda beliau berhasrat membawa pendekatan politik baharu yang memfokuskan tawarannya kepada warga kawasan itu berbanding menggunakan taktik seumpama itu.

“Paling penting, saya perlu fokus dan tidak boleh lari daripada itu, sebab bagi saya serangan peribadi seperti itu tidak relevan langsung kepada rakyat di sini yang mahukan wakil yang boleh membantu dan berkhidmat kepada mereka.

“Jadi dengan hati yang ikhlas dan iltizam yang tinggi, saya mampu dan yakin boleh membantu penduduk di DUN Kuala Kubu Baharu.

“Kita perlu mengamalkan politik matang dan berharap pencabar saya yang bertanding dalam PRK ini boleh berkempen dengan berhemah. Saya sendiri tidak mahu ulas isu peribadi orang lain,” katanya selepas melakukan walkabout di sekitar pekan Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Sementara itu, tempoh kempen yang memasuki hari keempat itu, Sock Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, setakat ini maklum balas diterima daripada pengundi dilihat amat positif walaupun beliau calon luar dari kawasan itu.

Beliau berkata, pembangunan kawasan dan kebajikan terhadap semua masyarakat masih kekal menjadi fokus utamanya bagi kawasan berkenaan.

“Persoalan mengenai saya adalah orang luar itu sudah tentu ditanya (oleh masyarakat setempat), jawapan saya adalah saya akan bekerja keras dan saya boleh tinggal di sini untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas, ianya diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Related Articles

Back to top button