Politik

Cubaan jatuhkan calon Kerajaan Perpaduan, Fadhli Shaari seorang yang rasis dan hipokrit

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bersikap hipokrit dan rasis apabila mencabar calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya.

Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda HARAPAN, Ammar Atan, tindakan pemimpin Pas itu adalah satu bukti jelas bahawa parti politik itu mempergunakan sentimen kaum dan agama dengan memperalatkan kepercayaan penyokong mereka demi mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Beliau meluahkan rasa kesal apabila Fadhli bermain isu sekolah vernakular dalam cubaannya untuk menjatuhkan Pang Sock Tao hanya kerana dirinya berbangsa Cina.

“Hakikatnya, saudari Pang fasih berbahasa Melayu dan telah dibuktikan dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nya yang cemerlang, termasuk A untuk subjek Bahasa Melayu.

“Tidak diketahui pula sama ada Fadhli berjaya mendapat gred A dalam SPM nya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Fadhli berharap isu Pang Sock Tao yang menjadi calon PH pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan ‘berterusan’ hingga PRK 11 Mei nanti.

Pada masa yang sama, Ammar Atan berkata, Fadhli sebaliknya perlu mempersoalkan mengapa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghantar cucunya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Perkara ini pernah disahkan oleh mantan setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebelum ini. Malah, Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor, yang turut merupakan ahli Pas, juga menghantar anaknya ke SJKC.

“Apakah Hadi dan Salamiah hilang kepercayaan terhadap Sekolah Kebangsaan? Atau, adakah dengan memasuki SJKC, cucu Hadi dan anak Salamiah sudah hilang rasa patriotik terhadap Malaysia?” soalnya.

Beliau turut menggesa pengundi KKB menilai sendiri sama ada mereka mahu mengundi Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada pemimpin seperti Fadhli.

“Bukan budaya kita untuk membenih rasa benci terhadap kaum lain. Kepada Fadhli, mesej saya kepada anda: Rasis dan hipokrit simpan tepi,” katanya.

Related Articles

Back to top button