Semasa

Imej PM Anwar di pentas antarabangsa semakin meningkat – Penganalisis

Seorang penganalisis politik menyifatkan lawatan rasmi kali keempat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi sebagai menandakan hubungan rapat beliau dengan Putera Mahkota negara berkenaan yang juga Perdana Menteri Mohammed bin Salman.

Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Zaid Ahmad melalui satu kenyataan berkata kehadiran Anwar ke Arab Saudi melalui jemputan peribadi Putera Mahkota juga mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri sebagai salah satu suara utama negara-negara membangun.

Tambahnya, walaupun Anwar sudah mencipta nama dan mendapat perhatian susulan kritikan kerasnya terhadap hipokrasi negara-negara Barat dalam isu Palestin, ucapannya di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh terus menarik perhatian.

“Anwar menegaskan kuasa ekonomi utama tidak boleh memberi arahan kepada negara lain termasuk Malaysia untuk menurut sahaja kehendak mereka. Mereka mesti mematuhi peraturan negara berkenaan dan tidak mengenakan sebarang syarat atau tuntutan yang menjejaskan hala tuju dan dasar ekonomi negara,” katanya sebagai mengulas ucapan Anwar di sesi pembukaan persidangan pleno.

Sementara itu tambah Dr Zaid, forum antarabangsa seperti Mesyuarat Khas WEF adalah penting kerana ia membolehkan Anwar menegaskan pendirian Malaysia dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin dunia, terutama kerana suaranya semakin dilihat mewakili suara banyak negara lain.

Mengulas mengenai peluang pelaburan yang terhasil dari lawatan itu beliau berkata, Anwar bersama delegasinya telah mengadakan beberapa mesyuarat penting dengan pemimpin-pemimpin global dalam misi meneroka pelbagai peluang-peluang ekonomi di samping menarik pelaburan baharu ke negara ini.

BACA LAGI: PM Anwar yakin dapat tarik pemimpin industri melabur di Malaysia

Penjelasan Anwar yang cukup meyakinkan mengena peluang perdagangan serta pelaburan yang luas di sini, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Semua ini adalah bukti bahawa Anwar adalah ‘jurujual’ terhebat Malaysia, dan dengan suaranya yang semakin kuat dalam forum antarabangsa, beliau kini semakin diiktiraf sebagai salah seorang jurucakap tertinggi negara dunia ketiga,” katanya.

Related Articles

Back to top button