Komuniti Orang Asli akan undi calon wakili kerajaan – Tok Batin
Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggesa komuniti Orang Asli memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Datuk Seri Ramli Mohd Noor yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands membuat seruan itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan komuniti Orang Asli memandangkan mereka dianggap sebagai pengundi setia Barisan Nasional (BN).
“Orang Asli di DUN Kuala Kubu Baharu kena undi, pangkah PH. Tuan puan tahu kenapa? Sebab sekarang BN dengan PH adalah kawan.
“Kita tak mahu tikam kawan. PH membantu kita (BN) menang di (PRK DUN) Pelangai.
“Seperti mana Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pernah bercakap, setiakawan itu adalah kena sokong menyokong dan kena pastikan kestabilan politik. Jadi saya berharap suku kaum Temuan di DUN KKB ini jangan sesekali lupa dan pastikan kesetiaan itu ada dengan memangkah calon PH,” katanya.
Ramli berkata begitu pada satu sesi ramah mesra bersama komuniti itu yang turut dihadiri calon mewakili kerajaan Pang Sock Tao.
Dipetik laporan media, DUN KKB memiliki tujuh perkampungan Orang Asli dengan jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 1,279.
BACA LAGI: Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan demi kemaslahatan pengundi
Sementara itu, Tok Batin Orang Asli, Asu Dollah dipetik laporan media menaruh keyakinan undi masyarakat Orang Asli akan memihak kepada Sock Tao.
Katanya, perkara itu dapat dibuktikan menerusi keputusan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu di mana undi Orang Asli telah memenangkan mendiang Lee Kee Hiong.