Semasa

NRES cadang pinda Akta Pembangunan Mineral, penuhi keperluan sektor REE

Kerajaan perlu meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 bagi memenuhi keperluan pembangunan kerangka model perniagaan unsur nadir bumi (REE) negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerangka perundangan itu adalah perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan dibuat mengenai penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

“GLC itu bagi saya perkara nombor dua sebab apa-apa kena ada kerangka perundangan, itu kena jelas…selepas itu kita nak buat GLC, sektor swasta atau mengeluarkan tender, kita boleh bincang, tetapi perkara pertama yang kita kena ada ialah kerangka perundangan.

“Jadi, ada beberapa aspek yang perlu kita pinda untuk kita dapat memenuhi keperluan REE,” katanya.

Nik Nazmi berkata begitu kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Ipoh pada Selasa.

BACA LAGI: Selaras perkembangan industri geosains, kerajaan harap jumlah ahli geologi bertambah

Beliau sebelumnya ditanya mengenai perkembangan pertemuan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan tiga kementerian bagi membincangkan pembangunan kerangka model perniagaan REE negara baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata pertemuan NRES dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi antaranya membincangkan langkah memajukan industri REE serta unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang perlu dilihat secara menyeluruh.

Related Articles

Back to top button