Nasional

Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam bukti kesungguhan PM Anwar hargai sumbangan pekerja sektor awam

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus Disember nanti membuktikan kesungguhan beliau dalam menghargai sumbangan pekerja sektor awam kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pengumuman tersebut juga pasti mengejutkan penjawat awam kerana ia merupakan antara kenaikan terbesar dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

“Ia penantian yang panjang.. Perdana Menteri telah mengambil keputusan mengejutkan, kita tahu bahawa kedudukan kewangan kurang memuaskan setakat ini berikutan faktor ekonomi, tetapi Perdana Menteri sangat komited untuk menghargai penjawat awam keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di Perkarangan Kompleks UMNO Jelebu Simpang Pertang, Negeri Sembilan.

Seiring dengan pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap penjawat awam tentunya dapat melipatgandakan produktiviti masing-masing dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat dengan lebih efisien.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman itu juga bertepatan dengan sambutan Hari Pekerja hari ini dan bukan sebagai ‘gula-gula Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Hari ini adalah Hari Pekerja,…apa jua dilakukan kerajaan pasti ada pelbagai interpretasi… tetapi kerajaan bertanggungjawab memenuhi apa yang dijanjikan sebelum ini kepada penjawat awam,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024.

Kenaikan gaji penjawat awam melibatkan kos mencecah RM10 bilion dan dianggap terbaik dalam sejarah Kerajaan Madani.

Related Articles

Back to top button