Global

PM Anwar seru negara Arab, Islam tegas tuntut keadilan untuk Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyeru negara Arab dan Islam tegas dalam memastikan rejim Israel diheret ke muka pengadilan.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata perkara itu telah dinyatakan pada pertemuan bersama Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Istana Yamamah di Riyadh, Arab Saudi.

Tegasnya, rakyat Palestin wajar diberi keadilan, kekejaman luar batas kemanusiaan dilakukan rejim Israel terhadap warga Palestin sejak puluhan tahun wajar dihentikan.

“Saya lontarkan pandangan betapa seluruh negara Arab dan negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada dan tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin.

“Di samping terus memperjuangkan hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan,” katanya melalui hantaran tersebut.

BACA LAGI: Malaysia konsisten sokong pembebasan Palestin, kenyataan Bruce Gilley menyeleweng

Sementara itu Anwar memaklumkan telah menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan yang dipamerkan kerajaan Arab Saudi terkait urusan hal ehwal umat Islam, termasuk dalam konflik Palestin-Israel.

Turut disentuh pada pertemuan itu adalah soal hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi serta isu-isu serantau.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah,” tambah Anwar.

Related Articles

Back to top button