Negeri

Sanusi digesa selesai isu mendesak, bukan bina LRT

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya menyelesaikan isu-isu penting berkaitan rakyat di negeri itu.

Mengulas cadangan Muhammad Sanusi yang mahu membangunkan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi, Mahfuz berkata tiada keperluan mendesak untuk sistem pengangkutan canggih itu dibangunkan di pulau berkenaan ketika ini.

“Sepatutnya dia ( Muhammad Sanusi ) perlu selesaikan masalah air di Kedah. Masalah air ini janji selesaikan kerana ini menjadi keutamaan kepada kehidupan rakyat.

“Terlalu banyak pengumuman (projek) yang dibuatnya sebelum ini tetapi tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini, hari ini.

Pada Isnin Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD) bagi melaksanakan kajian pembangunan LRT di Langkawi.

Exco Industri dan Pelaburan Kedah dipetik laporan media berkata, kajian projek dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

BACA LAGI: Masalah LRA di Kedah,Pembangkang jangan cuba salahkan pihak lain

Sementara itu Mahfuz turut menyatakan kebimbangan projek pembinaan LRT tersebut akan menjejaskan peluang ekonomi penduduk yang menjalankan perkhidmatan sewa kenderaan.

“Langkawi pun kalau hendak dikira dari hujung sana sampai hujung sini, berapa jauh sangat…biarlah, beri peluang kepada mereka yang duduk di Langkawi untuk buat perniagaan menyewa kereta atau van,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button