Kenaikan gaji penjawat awam: Kerajaan MADANI imbangi pendapatan pekerja gred rendah, tinggi
Berbeza dengan pendekatan pentadbiran sebelum ini, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam semalam bertujuan mengimbangi pendapatan pekerja gred rendah dan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan menyaksikan kenaikan ketara bagi kelompok penjawat awam bergaji rendah dan pengurangan kenaikan membabitkan kelompok yang sebelum ini menikmati gaji lebih tinggi.
“Bagi kalangan yang (bergaji) rendah mungkin cecah 25 hingga 30 peratus.
.”.saya utamakan kelompok (bergaji) rendah dan kurangkan di kelompok yang tinggi,” katanya dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam tadi.
Anwar ketika merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya mengumumkan kenaikan gaji antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah.
Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan jelasnya akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding pada masa ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan.
Mengulas lanjut kenaikan itu Anwar menegaskan ia melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.
“Walaupun pernah diperkenal dulu 35 peratus, tapi itu daripada gred 1 hingga gred 16, tapi secara keseluruhannya ini masih antara yang paling tinggi dengan kos yang sangat tinggi mencecah lebih RM10 bilion,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
BACA LAGI: Gaji naik lebih 13 peratus, pendapatan minimum penjawat awam lebih RM2,000 sebulan
Beliau sementara itu meletakkan harapan agar penjawat awam akan dapat meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji yang dinikmati.
“Diharap ini mendorong penjawat awam kerja lebih gigih, hentikan lembab, malas dan ketirisan.
“Kena cekap kena ada perubahan, saya harap sesuatu yang lebih baik,” tambahnya.