“Masyarakat India tidak terpinggir, Kerajaan MADANI bantu semua”- PM Anwar
Masyarakat India di negara ini tidak pernah dipinggirkan Kerajaan Madani, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam tadi, Anwar berkata kerajaan mengambil pendekatan untuk membantu setiap segmen masyarakat tanpa mengetepikan mana-mana golongan.
Malah untuk masyarakat India, pelbagai inisiatif sedang dan telah dilaksana bagi memperkasa komuniti berkenaan.
“Kita ambil pendekatan untuk membantu (Bumiputera) tetapi ini tidak bermakna zero-sum game, tolong Melayu maknanya kita pinggirkan (golongan lain), tidak.
“…sebab itu saya tegaskan dengan masyarakat India janganlah marah atau cemburu tentang program Bumiputera. Tanya apa yang perlu kita lakukan, kewarganegaraan orang yang berhak, yang ketinggalan… 50, 60 tahun dulu lahir di Malaysia tak dapat (kewarganegaraan). Itu kita selesaikan dan ini kali pertama yang selesai begitu banyak oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Mengulas dari segi ekonomi Anwar berkata, antara bantuan khusus buat kaum itu adalah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan peruntukan RM100 juta bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India manakala sejumlah RM30 juta diperuntukkan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dalam Belanjawan 2024.
Selain itu Inisiatif lain termasuk peruntukan dana khas RM50 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut disediakan bagi memperkasakan usahawan wanita India, di samping agensi berkaitan kerajaan iaitu Petronas juga menyediakan biasiswa untuk kaum India, dan syarikat itu turut menggajikan hampir 1,000 petugas dari kalangan kaum India, namun perkara itu tidak diuar-uarkan.
BACA LAGI: MAICCI sambut baik pengumuman dana khas untuk bantu usahawan wanita India
Anwar sementara itu menyifatkan terdapat sesetengah pihak berkepentingan dan kaya cuba menghasut untuk mempengaruhi masyarakat melalui persepsi yang cuba disebarkan.
“Janganlah dengar pada satu, dua orang yang menghasut (pemberian kerajaan) RM50 juta untuk sekolah Cina. Padahal semasa Perikatan Nasional (PN) pun bagi, semasa Barisan Nasional (BN) pun bagi… tak ada masalah yang kita beri pada sekolah kebangsaan itu berbilion ringgit – ini sikap yang saya kata secara halus menghasut dan membenci,” katanya.