Anwar

Microsoft umum pelaburan terbesar bernilai RM10.5 bilion setelah bertapak 32 tahun di Malaysia

Syarikat teknologi gergasi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah RM10.5 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya pada Khamis.

“Jumlah ini adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

“Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awam (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Microsoft dalam satu kenyataan berkata, syarikat berkenaan akan melabur RM10 bilion di Malaysia untuk menyokong transformasi digital negara.

Microsoft berkata, pelaburan itu termasuk bagi membina perkhidmatan ‘cloud’ dan kecerdasan buatan (AI) dengan mewujudkan peluang pekerjaan sehingga 200,000 orang bagi menyokong pertumbuhan komuniti pembangunan di negara ini.

Ia juga akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Dalam pada itu, Anwar dan Satya turut menghadiri National AI Leadership Forum yang turut disertai oleh Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Digital, Gobindh Singh Deo, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Related Articles

Back to top button