Anwar

PM Anwar minta rakyat ‘humban’ Ahli Parlimen bantah kenaikan gaji penjawat awam

Keputusan dasar kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan di Parlimen dengan sebulat suara pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober ini.

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengambil kira sokongan yang diterima daripada Ahli Parlimen termasuk ketua-ketua parti politik.

“Saya ucap terima kasih kepada keluarga penjawat awam umumnya kerana sambut begitu baik pengumuman ini. Tetapi kita tak boleh menghalang beberapa kenyataan yang hambar.

“Satu, ini pengumuman Anwar untuk laksana (kenaikan gaji) 1 Disember, mana tahu Parlimen tak lulus. Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah. Kalau bantah, kita humban pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI, di Kompleks Setia Perkasa Putrajaya, hari ini.

Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno memberi sokongan kepada keputusan berkenaan dan turut disokong oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini sudah cukup majoriti, saudara-saudara jangan bimbang insya-Allah Parlimen akan lulus bergaya keputusan kita ini supaya kita dapat laksana pada 1 Disember ini,” katanya.

Pada 1 Mei 2024, Anwar dalam sambutan Hari Pekerja mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang juga kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember ini.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.

Related Articles

Back to top button