Nasional

Talian khas diwujudkan terima aduan terkait penghinaan terhadap agama Islam – Menteri Agama

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak perlu sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam. 

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa tindakan menghina Islam perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak. 

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan talian khas untuk menerima aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam termasuk di laman media sosial.

“Orang ramai boleh membuat aduan serta laporan berkaitan apa-apa isu penghinaan kepada agama Islam di talian WhatsApp 0173234533 atau emel di [email protected],” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Na’im, JAKIM telah diminta untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta lain-lain pihak berkaitan untuk menangani isu penghinaan terhadap agama Islam. 

Sementara itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk sentiasa bertanggungjawab bagi memelihara perpaduan dan keharmonian dalam negara.

Tambah beliau, perpaduan adalah nikmat yang perlu dipertahankan demi mencapai cita-cita membangunkan Malaysia Madani.

Justeru itu, semua pihak disarankan untuk berhenti membuat sebarang bentuk provokasi dan tindakan ekstrem.

Related Articles

Back to top button