Semasa

Tangani kos sara hidup tetap jadi keutamaan kerajaan – PM Anwar

Kerajaan MADANI tetap meletakkan usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat sebagai fokus utama selain terus berusaha meningkatkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung di semua televisyen tempatan malam tadi berkata, beliau memahami beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat dan kerajaan berusaha mengawal kenaikan melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan.

“Kos sara hidup itu agenda tetap dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebab kita tidak pandang ringan beban rakyat.

“Sebab itu kita beri kenaikan subsidi seperti subsidi padi, pekebun kecil getah, nelayan selain menaikkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (Sara) membabitkan kenaikan RM10 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, meski Malaysia berdepan isu kenaikan kos pelbagai barangan, namun ia berjaya dikawal oleh setiap kementerian yang berkaitan.

Malah Malaysia masih terbaik dari segi kawalan berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

BACA LAGI: Kerajaan bakal bangun indikator baharu ukur tahap kos sara hidup rakyat

Sementara itu Anwar sekali lagi berkata, pentadbiranya bersikap terbuka untuk menerima sebarang kritikan dan teguran sekiranya ia berlandaskan fakta tepat.

“Sebarang suara atau kritikan dan teguran berdasarkan fakta, saya terima baik. Ada bidang kita harus perbaiki dan tiada pemerintah yang sempurna harus dengar (pandangan rakyat),” jelasnya.

Related Articles

Back to top button