Semasa

Transformasi perundangan sisa pepejal bakal dilaksana – KPKT

Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) diadakan pada Rabu bersetuju mengadakan transformasi perundangan bagi sisa pepejal.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan berkata, langkah itu bagi memastikan ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal di seluruh negara dapat berjalan dengan lancar.

“Ketika ini perundangan sedia ada tidak mencukupi bagi pelaksanaan ekonomi kitaran yang holistik di seluruh negara.

“Justeru, terdapat keperluan untuk menjalankan satu kajian penggubalan Rang Undang-Undang Ekonomi Kitaran ke arah pembangunan satu akta yang spesifik, menyeluruh dan meliputi peringkat pengeluaran produk sehingga produk pasca pengguna serta boleh diterima pakai oleh semua negeri,” menurut kenyataan itu.

Selari hasrat sama, KPKT berkata NCEC turut bersetuju memperhebatkan lagi usaha bagi melonjakkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan dengan memperkasakan peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan sokongan daripada pihak industri dalam mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran.

Bagi menyemarakkan aktiviti kitar semula, mesyuarat NCEC dipengerusikan Menteri KPKT, Nga Kor Ming itu turut mengambil maklum keperluan mengintegrasikan pekerja tidak formal dan perusahaan kecil dan sederhana dengan penelitian lanjut mengenainya akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri untuk mendapatkan data bilangan pekerja tidak formal di Malaysia.

BACA LAGI: KPKT peruntukkan RM50 juta, bina 100 Taman Rekreasi MADANI

“NCEC juga memutuskan supaya KPKT dan industri bekerjasama meneliti kaedah ‘Material Flow Analysis’ dalam pengiraan kadar kitar semula kebangsaan bermula dengan sektor komoditi plastik, seterusnya diperluaskan kepada komoditi lain seperti logam, kertas, tekstil dan sebagainya.

“Usaha ini secara tidak langsung akan menambah baik kaedah pengumpulan dan pelaporan data supaya ia lebih menyeluruh dalam menggambarkan prestasi pelaksanaan ekonomi kitaran di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button