Dana RM30 juta MISI KESUMA-MITRA bukti masyarakat India tidak diabaikan – Prabakaran
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan geran latihan bagi pelaksanaan Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) KESUMA-MITRA.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, dana RM30 juta adalah selaras dengan aspirasi 3K kementerian itu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.
Dana tersebut jelasnya akan disalurkan kepada program-program peningkatan kemahiran belia komuniti India di bidang-bidang kritikal yang memenuhi kehendak industri dan keperluan negara menerusi HRD Corp dan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Kesuma menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan geran latihan berkenaan.
“Ini selaras dengan aspirasi 3K KESUMA,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu menurut Sim, maklumat lanjut mengenai program-program latihan di bawah inisiatif itu akan diumumkan tidak lama lagi, katanya.
BACA LAGI: “Masyarakat India tidak terpinggir, Kerajaan MADANI bantu semua”- PM Anwar
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), P Prabakaran, berkata pengumuman dana tersebut membuktikan Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan kepada masalah serta usaha mentransformasikan masyarakat India.
Justeru beliau berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Perpaduan tidak ambil kisah masalah masyarakat itu adalah tidak benar sama sekali.