Kerajaan PAS Kelantan ucap terima kasih kepada PM Anwar
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditemui pada sambutan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Kota Bharu pada Khamis, Mohd Nassuruddin berkata, penghargaan itu susulan sikap Anwar yang tidak meminggirkan Kelantan, malah memberi layanan sama rata seperti negeri lain walaupun ia ditadbir pembangkang.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan maklum balas positif terhadap semua yang dibincangkan dan melayan Kelantan sepertimana negeri-negeri lain,“ katanya kepada pemberita.
Pada Khamis, Anwar menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim yang menempatkan pejabat pentadbiran negeri.
Menteri Kewangan itu turut mempengerusikan mesyuarat yang membincangkan isu-isu pembangunan dan perkara untuk kepentingan rakyat antaranya mengenai masalah air, kemiskinan, jalan raya dan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
BACA LAGI: Kerajaan Persekutuan tingkat pemberian untuk negeri
Sementarar itu Nassuruddin berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan seperti yang telah dilakukan kepimpinan terdahulu.
“Bagi saya berpolitik hanya pada musim pilihan raya. Selepas mandat diberikan kita mestilah memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat yang menjadi tanggungjawab bersama,“ katanya.