Nasional

Malaysia jadi negara majoriti Muslim pertama dipilih sebagai lokasi ‘Japan Food Export Platform’ – KPKM

Malaysia merupakan negara dengan majoriti Muslim yang pertama dipilih sebagai lokasi ‘Japan Food Export Platform’.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah tersebut diharap dapat membuka peluang kepada lebih banyak syarikat Jepun untuk menembusi pasaran halal sekali gus mendapatkan pengiktirafan halal.

Perkara tersebut dinyatakan pada kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Takahashi Mitsuo ke atas Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup di Wisma Tani, Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Arthur menyatakan kesediaan KPKM menyokong usaha tersebut dan pada masa yang sama memohon sokongan dan bantuan pihak Jepun untuk mempertingkatkan kualiti produk keluaran penternak tempatan melalui perkongsian kapasiti dan latihan.

“Dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam, kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam perdagangan dua hala, kerjasama di dalam sektor pertanian serta peranan Malaysia sebagai hab halal yang ingin dimanfaatkan oleh Jepun.

“Di kesempatan tersebut, Arthur mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan berharap supaya pertukaran teknologi dapat diperkemaskan melalui kerjasama dua hala sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Jepun merupakan salah satu rakan perdagangan utama Malaysia dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Jepun sebanyak RM8.41 bilion berbanding nilai import dari Jepun ke Malaysia sebanyak RM2.09 bilion seterusnya menyumbang kepada imbangan perdagangan positif kepada negara.

Related Articles

Back to top button