Nasional

‘Malaysia mungkin perlu import gas sepenuhnya menjelang 2050’ – Rafizi

Malaysia berkemungkinan perlu mengimport gas sepenuhnya menjelang 2050 untuk menjana tenaga elektrik sekiranya kerajaan tidak membuat peralihan kepada penggunaan tenaga yang lebih bersih, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

Beliau berkata, setakat tahun lalu, Malaysia mengimport sebanyak 25 peratus gas untuk menjana tenaga elektrik dan keadaan itu dilihat akan berterusan di mana tahun ini negara dijangka akan mengimport sehingga 30 peratus gas untuk tenaga elektrik.

Justeru, jelasnya, kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) supaya negara tidak ketinggalan dalam peralihan global ke arah penggunaan tenaga bersih.

“Tahun lalu jumlah gas yang kita gunakan untuk menjana elektrik, 25 peratusnya perlu diimport dan tahun ini dijangka jumlah itu meningkat 30 peratus.

“Sekiranya keadaan ini berterusan sudah pasti pengeluaran gas dalam negara semakin menurun dan jika tiada sebarang tindakan dibuat menjelang 2050, kita akan bergantung kepada import gas untuk menjana elektrik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘INTAN Minister’s Conversation’ (IMC) 2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Rafizi turut menyentuh mengenai keperluan kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem semikonduktor negara.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah terbaik untuk memperkukuhkan keseluruhan ekosistem semikonduktor di negara ini dengan melahirkan lebih banyak pengeluar cip semikonduktor tempatan.

Katanya, sebagai permulaan, kerajaan meninjau untuk menyediakan langkah lonjakan awal seperti keperluan dasar untuk menggalakkan penubuhan firma reka cipta cip tempatan.

Related Articles

Back to top button