Politik

Sasar 10,000 pengunjung pada Karnival 25 Tahun KEADILAN 11 Mei ini

KEADILAN akan meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan menganjurkan satu karnival terbuka di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, karnival yang julung kali diadakan itu menyasarkan seramai 10,000 pengunjung dan antara lain akan menyajikan pameran, wacana forum dan pelbagai pengisian menarik yang berkaitan dengan sejarah penubuhan parti.

“Sejarah penubuhan parti ini bermula dengan pelbagai rencam dan ujian sehingga mematangkan perjuangan KEADILAN yang kemuncaknya kepada penglibatan KEADILAN di dalam sebahagian tampuk pemerintahan negara, dan ia akan dipersembahkan dalam bentuk pameran, wacana forum dan lain-lain pengisian sepanjang karnival itu nanti,” katanya.

Menurut Nurul Izzah lagi, para pengunjung ulang tahun Jubli Perak KEADILAN itu kelak turut disajikan dengan gerai jualan daripada pelbagai vendor tempatan seperti Tia Fatihah Hijab, Berrykinn, Gorpis, Fifbites Churros dan lain lain.

Bercakap dalam persidangan media sempena penganjuran Karnival 25 Tahun KEADILAN itu di Petaling Jaya, beliau berkata, selain itu satu majlis kesyukuran turut dirancang sebagai acara sambutan, di samping majlis makan malam bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota.

Beliau berkata, sempena sambutan itu KEADILAN juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk membuka kaunter-kaunter bergerak termasuk kaunter pembayaran saman, kaunter permohonan kad pengenalan dan kaunter berkaitan hal ehwal pensijilan halal.

Tambah Nurul Izzah, karnival itu juga akan menyajikan aktiviti menarik lain seperti permainan tradisional rakyat, persembahan buskers dan persembahan artis seperti Aisha Retno, Kaka Azraff dan Datuk Zainal Abidin.

Related Articles

Back to top button