Pilihanraya

Angkatan Muda Harapan cabar calon PN, Khairul Azhari dedah aset dan liabiliti

Pemuda Pakatan Harapan (PH) mencabar calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut untuk mengisytiharkan aset dan liabilitinya.

Ini berikutan tular dakwaan dirinya menanggung hutang sebanyak RM37,363 dengan syarikat kredit komuniti.

Ketua Penerangan Pemuda PH, Ammar Tan berkata, Khairul Azhari perlu membuat pengisytiharan itu demi membersihkan namanya.

“Setelah kontroversi berkaitan kelayakan akademik, Khairul Azhari dikatakan pula berhutang dengan along. Malah dia telah mengelakkan diri apabila ditanya media mengenai dakwaan ini.

“Menurut Mufti Kelantan, amalan meminjam daripada along adalah berdosa dan tindakannya mengelak daripada menjawab merupakan gambaran bagaimana dia akan melayani pertanyaan rakyat Kuala Kubu Baharu (KKB) kelak.

“Justeru, kami mencabar beliau mendedahkan aset dan liabiliti untuk untuk membersihkan namanya,” kata Ammar dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Khairul Azhari mengelak untuk menjawab soalan berkenaan hutangnya dengan along ketika ditemui selepas satu ceramah PN di Batang Kali, Kuala Kubu Baharu.

“No comment (tiada komen), terima kasih. Saya perlu ke lokasi lain,” katanya ketika itu, seperti dipetik Berita Harian.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, Parlimen Hulu Selangor telah dimenangi oleh Mohd Hasnizan Harun daripada parti Pas, manakala pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam disandang oleh Mu’izzuddeen Mahyuddin (Pas) dan Batang Kali oleh Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Bersatu).

Ammar berkata, penguasaan PN di Hulu Selangor tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Rata-rata rakyat di Parlimen Hulu Selangor khususnya di KKB yang ditemui sangat kecewa dengan prestasi ketiga-tiga wakil rakyat PN.

“Inilah natijah mengundi mereka yang hanya tahu memanaskan kerusi empuk dewan sahaja,” ujarnya.

Justeru, tinggi harapan Angkatan Muda Harapan agar rakyat di KKB melakukan pilihan tepat untuk mengundi calon yang cergas dan komited memperjuangkan penduduk KKB iaitu Pang Sock Tao daripada PH.

Related Articles

Back to top button