Gaji penjawat awam di Selangor bakal naik, selaras persekutuan – Menteri Besar
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu selaras pengumuman kenaikan gaji penjawat awam persekutuan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lepas.
Ia jelasnya akan dilaksanakan setelah kerajaan negeri mendapat pekeliling kenaikan gaji penjawat awam daripada kerajaan Persekutuan.
“Saya akan selaras balik kenaikan gaji penjawat awam negeri setelah pekeliling (kerajaan Persekutuan) dikeluarkan. Pentadbiran ini akan mengambil langkah yang perlu selaras dengan tatacara kewangan sedia ada.
“Perincian berhubung pelarasan kenaikan gaji penjawat awam negeri dijangka dilaksanakan pada Belanjawan Negeri 2025. Ia akan bermula pada kadar minimum iaitu lebih 13 peratus seperti yang Perdana Menteri umumkan,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
BACA LAGI: PM Anwar minta rakyat ‘humban’ Ahli Parlimen bantah kenaikan gaji penjawat awam
Sementara itu Amirudin berkata pengumuman Perdana Menteri yang melibatkan peningkatan gaji sektor awam wajar disambut oleh sektor swasta agar tangga gaji dan pendapatan rakyat di seluruh negara terus meningkat.
“Ia untuk menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan paling tinggi di rantau ini, sekali gus mengatasi cabaran kos sara hidup yang meningkat terutamanya di negara-negara maju,” katanya yang berharap kenaikan gaji itu menjadi pendorong bagu meningkatkan produktiviti kerja.