Negeri

Kerajaan berhasrat wujud jaringan jalan raya ganti pengangkutan air di Kapit

Kerajaan berhasrat mewujudkan laluan lebih baik dengan jaringan jalan raya di Kapit, Sarawak bagi menggantikan pengangkutan air melalui tiga fasa projek luar bandar yang menghubungkan Nanga Kabah ke Nanga Melipis.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR), hari ini, sekurang-kurangnya 3,000 penduduk tempatan di Kapit bakal menerima limpahan kesan peningkatan sosioekonomi melalui projek jalan luar bandar fasa satu yang sudah dilancarkan.

Katanya, projek fasa satu itu membabitkan laluan sepanjang 16.375 kilometer (km), mewujudkan jaringan jalan raya kepada dua sekolah serta menjadi akses darat penting ke Pekan Kanowit dan bandar Sibu yang kemudiannya akan menghubungkan ke Lebuh Raya Pan Borneo.

“Projek jalan kategori jalan luar bandar milik Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) ini adalah fasa satu daripada tiga fasa keseluruhan yang menghubungkan Nanga Kabah ke Nanga Melipis.

“Ia membabitkan pembinaan tiga jambatan iaitu Jambatan Sungai Kabah sepanjang 72 meter (m), Sungai Beguang (62 m) dan Sungai Temiang (62 m),” katanya.

Majlis pecah tanah projek membabitkan Jalan Nanga Kabah/SK Beguang/Sg Song, Song, Kapit, Sarawak itu dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Agensi pelaksana yang terlibat bagi projek jalan fasa satu ini adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.

Pada masa sama, KKR berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan susulan iaitu pembinaan sebuah jambatan dua hala merentasi Batang Rejang yang menghubungkan jalan Nanga Menuan/ Nanga Setepus ke jalan Song-Kapit.

Katanya, projek itu membabitkan laluan sepanjang kira-kira 900m dan 600m jalan tuju Baharu berdekatan dengan Bandar Kapit dan Pekan Song.

“Projek ini sedang dimohon di bawah Projek/Program Pembangunan Baharu Rolling Plan Empat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4, RMK12) tahun ini.

“Ia bakal menyediakan mod perhubungan jambatan dan jalan luar bandar ke Bandar Kapit, Pekan Song dan Pekan Kanowit yang selamat dan selesa berbanding melalui jalan air buat masa kini,” katanya.

Related Articles

Back to top button