Anwar

Pengorbanan anggota bomba perlu difahami bagi memastikan negara terus selamat – PM Anwar

Pengorbanan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) perlu difahami setiap lapisan masyarakat dalam memastikan negara terus selamat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, amanah dan tanggungjawab yang digalas setiap anggota bomba amat besar dan perlu dihargai.

“Saya percaya hari ini (Hari Bomba Sedunia 2024) tidak hanya jadi hari kita pamerkan kekuatan kita, pengalaman kita, tetapi untuk mengajak rakyat memahami dan merasakan prihatin terhadap perkhidmatan bomba.

“Kadang kala kesibukan kita, kita lupa bahawa negara ini aman dan selamat kerana terkawal. Yang mengawal itu tentera, polis juga bomba.

“Rumah hanyut, kucing tenggelam, tanah runtuh, bencana alam pelbagai semua itu kita rasa ada jabatan bertanggungjawab (JBPM), tapi simpati dan kefahaman kurang ini masalah kita,” katanya ketika memberikan ucapan perasmian Hari Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tambun, Perak, hari ini.

Justeru ujarnya, penghargaan perlu diberikan dengan komitmen yang ditunjukkan JBPM dalam memastikan setiap bencana dapat diatasi dengan baik di negara ini.

“Mereka melalui satu latihan dan latihan itu bukan perlukan jabatan biasa, ada terkorban nyawa, ada cedera parah tapi mereka dapat menjamin satu keadaan biasa (selamat) di negara.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat, saya hadir menyatakan penghargaan terima kasih jasa dan khidmat saudara saudari dimuliakan,” katanya lagi.

4 Mei adalah tarikh keramat bagi semua anggota bomba di seluruh dunia dan pastinya, anggota bomba di Malaysia juga meraikan hari tersebut yang disambut pada setiap tahun di seluruh dunia.

Dengan Ipoh sebagai lokasi pilihan pada tahun ini, sambutan Hari Bomba Sedunia 2024 terus mengangkat ‘Bomba Tonggak Penyelamat Negara’ sebagai tema.

Related Articles

Back to top button