Peruntukan bertambah, masyarakat India terbela dibawah pentadbiran PM Anwar, tegas Ramanan
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan sekali lagi mengulangi gesaan supaya tohmahan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminggirkan kaum India dihentikan.
Tegasnya, pentadbiran Anwar bukan sahaja tidak pernah meminggirkan komuniti itu, malah telah menambah peruntukan bagi membantu meningkatkan ekonomi mereka.
“Jika ada segelintir orang yang menyatakan Perdana Menteri meminggirkan komuniti India, saya ingat baik mereka pergi ke Tanjung Rambutan periksa mental mereka.
“Ini semua adalah dengki, sengaja mahu membangkitkan kemarahan komuniti India. Hentikanlah (tindakan) itu,” katanya kepada pemberita.
Ramanan sebelumnya hadir merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pengusaha Restoran India Malaysia Berhad (KOPRIMAS) yang ke-11 di Kelab Diraja Selangor pada Jumaat.
Dalam ucapan perasmian mesyuarat itu beliau mengumumkan kelulusan geran berjumlah RM100,000 kepada koperasi itu.
Geran menerusi Program Pengukuhan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu diberikan sebagai pemangkin dalam mengembangkan perniagaan dan seterusnya memberi manfaat kepada anggota KOPRIMAS.
BACA LAGI: “Masyarakat India tidak terpinggir, Kerajaan MADANI bantu semua”- PM Anwar
Sementara itu tambahnya, dana tambahan seperti RM30 juta melalui Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) sebanyak RM50 juta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang diumumkan sebelum ini tidak akan dapat direalisasi tanpa mandat daripada Perdana Menteri.