Kerajaan akan bina kilang padi pertama di Langkawi – Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan bahawa kerajaan akan membina sebuah kilang padi pertama di Langkawi melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Kampung Bukit Hantu, Mukim Ulu Melaka dengan anggaran kos sebanyak RM8.9 juta.
Beliau berkata, kilang berkenaan akan memproses semua jenis padi yang ditanam di Langkawi termasuk padi pulut.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengambil langkah proaktif dalam usaha menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada dan merangka hala tuju baharu bagi industri padi dan beras negara, menerusi program PINTAR, yang kita gelarkan sebagai ‘Gelombang Padi’.
“Saya turut difahamkan bahawa permintaan terhadap pulut dalam negara meningkat saban tahun sehinggakan kerajaan Malaysia perlu berbelanja sebanyak RM10 juta setahun untuk membeli beras pulut dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam,” katanya.
Terdahulu, Mohamad Sabu telah menghadiri Porgram Gelombang Padi Langkawi: Projek Padi Pulut Langkawi SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di bawah seliaan BERNAS bertempat di Bukit Hantu, Langkawi.

Menurutnya, KPKM bersedia untuk mempromosi dan mengangkat kelestarian amalan pertanian terbaik dalam penghasilan padi pulut bagi menjamin bekalan makanan negara melalui projek berkenaan.
“Saya amat mengalu-alukan kehadiran lebih banyak pemain industri, terutama syarikat peneraju di bawah program SMART SBB Ala Sekinchan untuk tampil dengan idea dan inovasi baharu supaya program tersebut dapat dibangunkan bukan hanya untuk padi, tetapi juga tanaman lain,” katanya.



