Semasa

Kerajaan MADANI beri layanan sama rata untuk semua kaum – PM Anwar

Kerajaan MADANI memberi layanan yang sama dan berkhidmat kepada semua kaum sekalipun mereka hanyalah minoriti di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan di Rumah Terbuka Hari Vaisakhi Negeri Perak 2024 di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Sabtu berkata, pentadbirannya tidak akan bertolak ansur dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara hebat yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

“Antara teras dalam konsep Madani ialah ihsan, kemanusiaan dan kita harus berusaha untuk mencapainya.

“Bila saya sebut miskin, saya tak kira kaum dan di negeri-negeri di mana ada kemiskinan tegar, saya kata kita mesti bantu dan saya tak mahu kita izinkan ini (kemiskinan) berlaku,” katanya.

Semantara itu Anwar menegaskan, meskipun Bumiputera Melayu adalah majoriti, Islam agama persekutuan bersama-sama Bahasa Melayu dan Raja-Raja namun negara ini harus tegas dalam memelihara serta melindungi hak setiap rakyat Malaysia.

“MADANI ini ada empati dan kemanusiaan. Saya seorang Muslim, tapi saya tahu untuk memimpin Malaysia perlu ada ihsan (belas kasihan),” tambahnya.

BACA LAGI: Peruntukan bertambah, masyarakat India terbela dibawah pentadbiran PM Anwar

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Baldip Singh Randhawa Santokh Singh.

Pada majlis itu Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan RM200,000 untuk kebajikan komuniti Sikh di Perak bagi keperluan kebajikan termasuk pendidikan murid daripada masyarakat minoriti berkenaan.

Related Articles

Back to top button