Semasa

Fadhlina kongsi pandangan pendidikan negara dalam pertemuan bersama Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengadakan pertemuan dengan bekas rakan sejawatannya Datuk Seri Mahdzir Khalid

Melalui satu perkongsian di laman Facebooknya Fadhlina berkata pada pertemuan yang berlangsung pada Sabtu itu beliau berkongsikan pandangan dan mendapatkan pengalaman Mahdzir yang pernah menerajui Kementerian Pendidikan.

“Alhamdulillah, saya sempat bertemu Datuk Seri untuk bertukar-tukar pandangan berhubung usaha berterusan dan berkesinambungan memajukan pendidikan negara.

“Beliau bukan sahaja seorang mantan menteri pendidikan, tetapi juga pernah menjadi guru dan pengetua sebelum menyertai politik, justeru hadam benar akan isu-isu dan permasalahan dalam pendidikan.

“Kami juga bersepakat perihal mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan berganding bahu memberikan fokus kepada pembangunan negara tercinta,” katanya dipetik.

Fadhlina hadir ke Kedah pada Sabtu bagi menyertai Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah, dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah projek-projek berkaitan institusi pendidikan di Kedah khasnya melibatkan kawal selia penyelenggaraan dan pembangunan sekolah.

BACA LAGI: Pelbagai inisiatif sedang giat dilaksana dalam usaha mereformasi pendidikan

Sementara itu menurut Fadhlina, Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah tunjang kependidikan negara yang mesti terus dipertahankan, agar setiap derap dan langkahan dilakukan mampu menjurus ke arah matlamatnya paling utama.

“Saya gembira dan bersyukur kerana semua pihak mengambil berat perihal pendidikan dan bersama-sama menyumbang ke arah penambahbaikan, bagi menuju ke arah keberhasilan dan kejayaan bersama nusa dan bangsa,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button