Sukan

Hannah kecam serangan terhadap pemain skuad Harimau Malaya, gesa polis segera buru pelaku

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam keras serangan terhadap pemain sayap skuad Harimau Malaya, Faisal Halim pada Ahad.

Melalui satu hantaran di Aplikasi X, Hannah menegaskan bahawa keganasan tidak sepatutnya berlaku dalam bidang sukan negara.

Justeru beliau menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera mengambil tindakan kepada pelaku.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. Tiada keganasan dalam sukan! Saya meminta @PDRMsia untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Media pada Ahad melaporkan Faisal atau lebih dikenali sebagai ‘Mickey’ telah disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dipetik laporan media memaklumkan keadaan pemain Selangor FC itu ketika ini kurang baik dan berharap dia dapatkan rawatan secepat mungkin.

“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan. Bahagian kaki dia nampak ok tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri badan belah kiri rusuk dan bahu yang cedera,” tegasnya yang turut kecewa dengan serangan terhadap pemain yang pernah dinobatkan Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu.

BACA LAGI: KBS mahu pastikan pemantauan terhadap persatuan sukan diperkasa

Sebagai rekod, ini adalah serangan kedua terhadap pemain skuad kebangsaan.

Kurang seminggu lalu, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.

Related Articles

Back to top button