Nasional

KUSKOP anjur Karnival TEKUN MADANI, Showcase Satu Daerah Satu Industri di Kuala Penyu

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Karnival TEKUN MADANI dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) sempena sambutan Pesta Kaamatan pada 10 hingga 12 Mei ini, di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, Kuala Penyu, Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, selain jualan daripada usahawan-usahawan dan koperasi, agensi-agensi kerajaan khususnya di bawah KUSKOP akan mengadakan reruai dan kaunter perkhidmatan.

“Pada karnival ini juga, kita akan melancarkan projek Tamu Desa bagi Sabah untuk tahun ini.

“Selain itu, pengisian sambutan Pesta Kaamatan seperti Unduk Ngadau, Rombituon dan makanan tradisi juga akan diadakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu Ewon menjemput semua untuk hadir ke karnival ini bagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan dan dalam masa yang sama mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan pembangunan keusahawanan terutamanya pembiayaan, geran, latihan, promosi antarabangsa dan sebagainya.

“Saya berharap melalui inisiatif ini, sambutan Kaamatan bukan setakat acara kebudayaan tetapi juga menjadi platform membina dan membangunkan gerakan keusahawanan dan koperasi negara kita,” katanya.

Karnival ini akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 11 Mei ini.

Related Articles

Back to top button