PM Anwar cukup komited bantu masyarakat India – Ramanan
Tindakan pihak tertentu yang cuba memainkan sentimen ‘politik kebencian’ dengan mendakwa perdana menteri meminggirkan kaum India disifatkan sebagai tindakan terdesak.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan menegaskan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksana pelbagai usaha membantu masyarakat India termasuk melalui agenda ‘Pemerkasaan Masyarakat India’ yang seiring dengan proses pembangunan negara.
Malah tegasnya perdana menteri cukup komited untuk menjayakan misi berkenaan sekaligus membuktikan kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.
“Kumpulan itu ‘desperado’ melakukan fitnah dengan niat dengki dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan komuniti India.
“Kita perlu berwaspada. Yang pasti kita perlu memastikan agenda pemerkasaan kaum India terjamin. Itulah juga “pegangan dan prinsip” saya selaku Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya .
Ramanan berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Sure Heboh’ di Putrajaya pada Ahad.
BACA LAGI: Kerajaan MADANI beri layanan sama rata untuk semua kaum
Pada Jumaat lalu, Ramanan mengumumkan RM100,000 geran diluluskan untuk manfaat Koperasi Pengusaha Restoran India Berhad (KOPRIMAS) di bawah Program Pengukuhan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Sebelumnya beliau juga mengumumkan dana tambahan RM30 juta melalui Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) RM50 juta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 usahawan wanita India.
“Semua inisiatif untuk usahawan masyarakat India ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa mandat daripada perdana menteri,” jelasnya.