Semasa

2,000 ulama, cendekiawan berhimpun dalam persidangan terbesar ketua-ketua agama

Persidangan antarabangsa ketua-ketua agama yang dilangsungkan di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor, hari ini dijangka akan dihadiri lebih 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara.

Liga Dunia Islam (MWL) melalui satu kenyataan pada Isnin memaklumkan persidangan bertajuk ‘Menggalakkan Keharmonian Antara Agama Dalam Kalangan Penganutnya’ itu merupakan platform bagi membincangkan beberapa tema berkaitan kemajmukan, toleransi, kesederhanaan, pendidikan, membina jambatan hubungan dan persamaan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan persidangan itu yang akan turut dihadiri Setiausaha Agung MWL dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

“Persidangan ini bertujuan untuk menekankan mengenai kepentingan agama dalam menggalakkan keamanan dunia, mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan meneroka tamadun bersama.

“Selain itu, ia akan melancarkan inisiatif yang terhasil daripada Piagam Makkah dan menonjolkan nilai-nilai agama yang mulia,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, persidangan dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Liga Dunia Islam Arab Saudi itu adalah yang terbesar dalam menghimpunkan barisan pemimpin agama di benua Asia.

Sementara, Persidangan Majlis Ulama Asia akan berlangsung pada Rabu di Mandarin Oriental di ibu negara.

BACA LAGI: Hadir acara Perkampungan Sunnah bukti jiwa besar Anwar – Felo Institut Islam Hadhari

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Ehwal Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar menegaskan perhimpunan tersebut tiada kaitan dengan agenda pluralisme agama.

Menjawab tohmahan pihak tertentu beliau menegaskan persidangan berkenaan tidak akan menyentuh soal akidah sebaliknya lebih tertumpu kepada usaha membangun tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, mengubah konflik kepada persefahaman serta menangani ancaman pemikiran ekstremis.

Related Articles

Back to top button