Nasional

Malaysia kehilangan RM277 bilion akibat rasuah bermula 2018 hingga 2023 – KP SPRM

Negara kehilangan hasil kira-kira RM277 billion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2023, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau menjelaskan jumlah kerugian besar direkodkan berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh itu sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat.

“Kalau dibahagi lima (angka kerugian itu) puratanya lebih kurang dalam RM55 bilion setahun. Jadi, jumlah ini yang kita semua perlu yang perlu kita selamatkan. Angka daripada segi kos yang boleh dijimatkan dan bukannya pendapatan.

“Kalau kita dapat selamatkan wang-wang begini ia akan dapat membahagiakan kita semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NACS 2024-2028 memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

Strategi itu menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, ialah komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Azam berkata, NACS diyakini dapat mencapai sasaran terutama dalam membanteras rasuah dengan menggariskan strategi berkaitan terutama dalam skop pengoperasian dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, semua agensi, kementerian, jabatan kerajaan akan dilibaturuskan untuk melihat kepada pelbagai banyak perkara tatakelola termasuk isu-isu reformasi undang-undang.

“Reformasi undang-undang ini law perlu dilihat oleh semua jabatan kerana ia sebenarnya banyak melambatkan pembangunan negara kita kerana dia melibatkan banyak birokrasi dalam negara kita,” katanya.

Related Articles

Back to top button