Pilihanraya

PH kerja keras tarik pengundi sehingga ke hari pengundian PRK Kuala Kubu Baharu – Gobind

Masalah yang membelenggu penduduk di Kuala Kubu Baharu dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik sekiranya pengundi memilih untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) 11 Mei ini.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Gobind Singh Deo memberi jaminan bahawa momentum kempen PH bergerak dengan lancar sepanjang tempoh berkempen.

“Kita tetap akan berusaha untuk memastikan Pang Sock Tao berjumpa dengan semua pengundi dan menerangkan kepada mereka rancangannya untuk membantu pengundi di sana sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KKB.

“Banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan untuk menarik pengundi, jadi kami telah menyediakan pelbagai program untuk dilaksanakan di sana (KKB),” katanya memetika laporan Malaysia Bangkit.

Dalam pada itu, Gobind yang juga Menteri Digital turut mengakui bahawa calon-calon parti lain juga mempunyai strategi yang tersendiri, namun beliau memberi jaminan bahawa manifesto yang dilancarkan oleh calon PH itu cukup jelas dan bertepatan untuk meyakinkan pengundi.

“Saya merasakan manifesto beliau cukup jelas serta tepat untuk meyakinkan pengundi bahawa dirinya merupakan calon yang mempunyai visi buat KKB di samping boleh membawa pembaharuan dan menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tersebut,” ujarnya.

Namun, Gobind tidak menolak apa-apa kemungkinan yang bakal berlaku kerana akhirnya pengundi sendiri yang akan membuat keputusan pada 11 Mei akan datang.

Terdahulu, Pang Sock Tao yang juga calon daripada PH telah melancarkan manifestonya bagi PRK KKB yang menggariskan lima teras utama iaitu ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi serta warisan dan budaya termasuk kesejahteraan rakyat.

Related Articles

Back to top button