Nasional

PM Anwar yakin peta, landskap politik ekonomi negara bertambah baik dengan dukungan penjawat awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin peta dan landskap ekonomi Malaysia akan berubah ke arah lebih baik jika penjawat awam mengamalkan kecekapan dan melaksanakan tugas dengan pantas.

Perdana Menteri menegaskan, jika penjawat awam memberi tumpuan kepada perkara terbabit, Malaysia akan terus menjadi perhatian dunia daripada segi pelaburan.

“Jadi saudara, tumpu ini dan saudara lihat, peta ekonomi, landskap ekonomi kita akan berubah dan saya yakin. Penjawat awam mesti tumpu perkara itu, yang lain simpang siur sepak terajang (politik), itu serah kepada saya dan kawan-kawan.

“Saudara tumpu (hal) ini, kerana Malaysia ada keupayaan sekarang bukan sahaja dari segi pertimbangan antarabangsa tetapi harapan dari segi pelaburan,” katanya.

Selain itu, Anwar turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak bimbang dengan usaha kerajaan melaksanakan pelarasan gaji seperti diumumkan baru-baru ini.

“Kita buat (pelarasan gaji) itu, apabila kita umum, itu selepas kerja dasar dilakukan, kita tahu dari mana (sumber) kewangannya, kita tahu hasilnya berapa dan kita dapat lihat umpamanya.

“Seperti mana (pelaburan) Microsoft, itu dimulakan tahun ini, bila ACWA (syarikat Arab Saudi) datang. Dalam dua minggu mereka datang.

“Bukan bermakna ini rencana tiga atau empat tahun, jadi kalau ada usaha sebegini, kita yakin pendapatan negara akan bertambah, mutu khidmat penjawat awam akan lebih baik dan hasil kita akan bertambah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Related Articles

Back to top button